Friday, 14 June 2013

Awas Surau-Surau Di Kementerian


RAMADHAN semakin hampir dan persiapan untuk menyambutnya sudah boleh dilihat dimana-mana.  Dari persiapan bazar Ramadhan dan sebagainya, semua menunjukkan keghairahan umat Islam menyambut bulan yang penuh berkat tersebut.

Bagaimanapun, seiring dengan persiapan biasa umat Islam bagi menyambut Ramadhan, parti-parti politik tertentu juga sudah mula mengatur agenda masing-masing untuk menyebarkan fahaman mereka melalui tazkirah sebelum sembahyang Zuhur di Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan.

Hal ini boleh berlaku kerana seakan sudah menjadi tradisi sepanjang bulan Ramadhan, pihak pengurusan surau di Kementerian-Kementerian tertentu akan menjemput penceramah undangan dari luar untuk memberikan tazkirah sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang pada waktu Zuhur.

Aktiviti seumpama ini memang baik, selain menambah ilmu di kalangan jemaah yang datang, dapat juga mengelakkan mereka dari melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti tidur atau bercakap hal yang tidak berkaitan dengan amal ibadat.

Malangnya, peluang ini telah digunakan sepenuhnya oleh penceramah-penceramah pembangkang untuk menyusup masuk dan menyebarkan fahaman mereka, tanpa disedari oleh jemaah yang terlibat.  Tahu-tahu, unsur-unsur sokongan terhadap Pakatan pembangkang, disebut secara halus dan tidak secara langsung.

Kena pulak ada di kalangan ahli jawatankuasa Surau kementerian atau jabatan kerajaan terbabit yang merupakan penyokong kuat pembangkang, lagi mudahlah kegiatan tidak bertanggungjawab ini dilakukan secara berleluasa.

Masjid dan surau, apatah lagi di jabatan-jabatan kerajaan, tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk aktiviti ceramah pembangkang ini membiak secara meluas.  Bulan Ramadhan sepatutnya diisi dengan amal ibadat, bukan kegiatan menghasut manusia membenci sesama manusia yang lain.

Antara Contoh Tazkirah Pembangkang

Apatah lagi bercakap tentang politik pembangkang yang sememangnya berpaksikan kepada kebencian antara manusia untuk mendapatkan keuntungan bagi pihak mereka.

Maka itu penulis minta agar setiap Ketua Setiuasaha Kementerian kerajaan di seluruh negara agar memantau aktiviti ini, jangan sampai berlaku di kementerian masing-masing dalam bulan Ramadhan yang akan datang.

Aktiviti keagamaan tidak boleh dicampur aduk dengan aktiviti politik kepartian kerana jabatan kerajaan adalah tempat untuk berkhidmat untuk rakyat, bukan menyebarkan fahaman politik.  Apatah lagi di kawasan surau, yang turut digunakan oleh orang lain yang tidak bertugas di tempat tersebut.

Proses pilihanraya seperti berkempen dan sebagainya sudah tamat, dan kini masanya untuk bekerja dan berkhidmat, bukan berpolitik sampai dunia nak kiamat.

No comments:

Post a Comment