SETELAH diketepikan dari barisan Exco baru Negeri Kelantan dibawah pentadbiran Menteri Besar yang baru, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS dilapor sedang mengintai jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan PAS yang akan datang.
Walaupun masih ada 2 tahun lagi sebelum PAS mengadakan pemilihan semula, tapi Husam telah pun memulakan langkah awal, apatah lagi sekarang dia lebih bebas untuk bergerak ke sana ke mari kerana tidak terikat dengan banyak tanggungjawab, melainkan jawatan sebagai ADUN Salor.
Hasrat ini disampaikan kepada penulis oleh sumber yang rapat dengan Husam. Ini bermakna, jika Husam meneruskan hasrat tersebut, Timbalan Presiden sekarang, Mohammad Sabu (Mat Sabu) perlu membuat kira-kira untuk mencabar jawatan Presiden yang sekarang disandang Datuk Seri Abd Hadi Awang.
Penulis yakin Mat Sabu tidak mampu menang jika dicabar oleh Husam. Selain tidak punya jawatan sebagai wakil rakyat, Mat Sabu juga dikenali sebagai pemimpin PAS yang cuba menyebarkan fahaman Syiah di dalam parti yang rata-rata dikuasai pemimpin bermazhab Sunni itu.
Kebetulan, prestasi Hadi sebagai Presiden PAS juga dilihat semakin lama semakin lemah kebelakangan ini. Walaupun bukan 100%, tapi Hadi bertanggungjawab sepenuhnya atas prestasi lemah PAS dalam pilihanraya umum yang lepas. Selain kehilangan Kedah, kerusi parlimen PAS turut merosot dari 24 pada 2008 kepada hanya 21 pada 2013.
Peluang inilah yang perlu digunakan sepenuhnya oleh Mat Sabu, jika Husam meneruskan hasratnya itu. Walaupun Mat Sabu sendiri tewas di Pendang kepada calon veteran UMNO, Datuk Othman Abdul, tapi perkara tersebut disebabkan oleh banyak faktor, bukan semata-mata kesalahan Mat Sabu.
Kelemahan pimpinan PAS Kedah dibawah Tan Sri Azizan Abd Razak telah menyebabkan rakyat negeri tersebut membulatkan tekad untuk mengubah kerajaan. Tak pasal-pasal Mat Sabu pun terkena tempiasnya, walaupun di Pendang yang merupakan kubu kuat PAS.
Justeru, kalau mahu kekal relevan, Mat Sabu memang tidak ada cara lain, melainkan merampas jawatan Presiden dari Hadi Awang. Husam dan pengaruhnya sekarang sudah pasti tidak ada masalah merampas jawatan Timbalan Presiden yang sekarang disandang Mat Sabu.
No comments:
Post a Comment