Friday, 21 June 2013

Tubuh Badan Khas Untuk Pantau Peguam Negara





NEGARA kita ini ada begitu banyak agensi penguatkuasaan, mengikut sektor-sektor tertentu.  Ada berkaitan rasuah, jenayah, pengangkutan dan sebagainya.

Dalam membuktikan ketelusan kerajaan, beberapa lembaga penasihat yang diwakili golongan profesional dan rakyat telah ditubuhkan untuk memantau aktiviti beberapa agensi penguatkuasaan berkenaan.

Antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini polis pun dicadangkan untuk ditubuhkan lembaga penasihat yang hampir serupa, dinamakan IPCMC.

Laman ini tidak berminat langsung dengan pro dan kontra di sebalik penubuhan lembaga penasihat atau jawatankuasa pemantau seumpama itu, cuma yang dipersoalkan, kalau mahu ditubuhkan juga, sebaiknya semua agensi kerajaan berkaitan ada lembaga pemantau masing-masing. 

Ini kerana tanpa kita sedar, negara kita mempunyai satu jabatan penting kerajaan yang seakan tidak boleh disentuh, iaitu Jabatan Peguam Negara.  

Rakyat mungkin tidak sedar bahawa di negara ini hanya Jabatan Peguam Negara yang diketuai Tan Sri Ghani Patail sahaja yang boleh membuat keputusan untuk mendakwa seseorang yang ditahan atas pebagai kesalahan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan di negara kita.

Dalam erti kata yang lebih mudah, di tangan Ghani Patail sahaja terletaknya kuasa mutlak untuk mendakwa seseorang di Mahkamah atau tidak.

Tanpa kita sedar, proses ini sebenarnya telah banyak mendatangkan masalah kepada kredebiliti kerajaan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.  Sering kali kita mendengar ada pesalah yang dibebaskan begitu sahaja kerana Peguam Negara berpendapat tidak ada kes untuk mendakwanya.

Kalau pun ada kes yang dibawa ke Mahkamah, bukan semua kes tersebut yang menang, dan di akhirnya, tertuduh berkenaan terlepas dan mungkin mengulangi semula kesalahan mereka sehingga ada di antara kes-kes tertentu, menyebabkan ketakutan di kalangan rakyat.

Ini semua tidak adil dan tidak betul sama sekali.  Dalam era moden hari ini, tidak ada sesiapa pun yang boleh mempunyai kuasa mutlak dalam apa hal sekalipun, termasuklah dalam soal membuat keputusan untuk mendakwa seseorang pesalah atau tidak.

Perlu ada timbang tara, agar masing-masing boleh melihat kesilapan yang mungkin berlaku antara satu sama lain.

Hakim di Mahkamah pun ada pendekatan check & balance.  Keputusan Mahkamah diperingkat yang lebih rendah, boleh disemak semula oleh Mahkamah yang lebih tinggi oleh Hakim yang lebih berpengalaman pula.


Sedangkan keadaan ini tidak berlaku di peringkat Jabatan Peguam Negara.  Tidak ada agensi atau badan khusus untuk memantau ketelusan proses pendakwaan sesuatu kes ke Mahkamah.  Persoalannya sekarang, kenapa perkara ini boleh dibiarkan berlaku?

Memang, Jabatan Peguam Negara tidak seperti polis dimana dalam menjalankan tugas hakikinya untuk menjaga keselamatan negara, ada kemungkinan berlaku kematian dan kecederaan boleh.  Tapi sebarang kesilapan di peringkat Jabatan Peguam Negara boleh menyebabkan ada pihak yang tidak mendapat pembelaan yang seadilnya.

Bukan semua orang mampu mengupah peguam untuk mengambil tindakan sivil yang lain seperti saman malu jika kes tidak boleh dibawa ke Mahkamah untuk pendakwaan.

Kerajaan dan kementerian yang berkenaan perlu melihat semula perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.  Sementara kita bercakap tentang ketelusan dan perlunya sistem check & balance diamalkan di setiap agensi penguatkuasaan, Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya terlepas dari diadakan sistem yang sama.

Malah kalau nak diikutkan, Jabatan Peguam Negaralah yang perlu melaksanakan perkara tersebut terlebih dahulu, baru diikuti oleh agensi-agensi yang lain.

No comments:

Post a Comment